HOME LIFESTYLE SHARE PROPERTY HOTNEWS ARTIST HEADNEWS SATELLITE PROJECT CARS OIL COMMODITY REPORTS PHOTOGRAPHER QUOTE LOVESTORY RECIPES KITCHEN MIXSALE PHONE GUFFAW SPIRITUAL FLICKS

Translate

IKLAN

Tuesday, July 8, 2014

GANJARAN PERTANDINGAN DI PERINGKAT SEKOLAH SANGAT MENYEDIHKAN





Kecemerlangan seseorang pelajar bukan hanya setakat diukur dari segi akademik sahaja, malah seseorang pelajar akan dianggap benar-benar cemerlang sekiranya mampu menunjukkan prestasi terbaik dalam pelajaran dan juga segala aktiviti ko-kurikulum yang disertai.

Menyedari akan kepentingan semua ini, lebih banyak pertandingan yang berjaya dianjurkan dan mampu mencungkil serta mengetengahkan bakat dan kemampuan pelajar bersaing sesama mereka.

Ibu bapa dan para pendidik pasti berbangga melihat para pelajar baik di peringkat sekolah rendah mahupun menengah bersaing dan menunjukkan segala bakat semula jadi mereka dalam pertandingan-pertandingan yang disertai.

Namun, apa yang amat menyedihkan adalah hadiah dan ganjaran yang disediakan oleh pihak penganjur adakalanya sangat menyedihkan. Ganjaran yang ditawarkan kerap kali tidak berbaloi dengan segala usaha dan penat lelah para pelajar membuat latihan dan penghafalan sebagai persediaan menghadapi segala pertandingan ini.

Wajarkah ini berlaku pada masa kini, sedangkan di negara kita banyak pihak yang mampu tampil membuat penajaan agar hadiah dan ganjaran yang ditawarkan lebih lumayan bagi menarik lebih banyak penyertaan sekali gus menjadi pendorong semangat pelajar yang berbakat untuk mencuba sehabis mungkin.

Bukanlah kita mahu menyogok mereka dengan ganjaran sebegitu rupa, namun segala penat lelah atas usaha mereka itu biarlah lebih berbaloi.

Baru-baru ini, anak kepada seorang rakan kami menyertai satu pertandingan iaitu pidato Bahasa Arab Kalam Jamaie mewakili sekolahnya. Memang telah diketahui bakatnya itu sangat luar biasa dan dia mampu menghafal teks bahasa Arab yang jelas bukan bahasa ibundanya.

Seperti diduga, pelajar ini memenangi pertandingan tersebut dengan gaya dan persembahan yang sangat bertenaga. Namun, apa yang paling menyedihkan adalah apabila kami mendapat tahu bahawa hadiah yang dimenangi adalah wang tunai sebanyak RM5.

Mungkin benar pertandingan itu hanya melibatkan pelajar sekolah rendah sahaja, namun kanak-kanak masa kini juga telah pandai menilai wang. Apalah yang dapat dibeli dengan wang sebanyak RM5 itu? Memang pertandingan itu tidak menawarkan hadiah lumayan dan guru serta ibu bapa juga tidak mengharapkan ganjaran yang tinggi, namun adakah segala penat lelah pelajar dan kepenatan ibu bapa mnghantar anak-anak hanya dinilai dengan RM5 sahaja?

Dalam hal ini, pihak penganjur mungkin tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana kurangnya peruntukan hadiah, namun bukankah mereka mampu mendapatkan penajaan banyak pihak agar dapat memberi hadiah yang lebih lumayan pada para pelajar ini?

Di manakah pihak-pihak yang mempunyai kemampuan membuat penajaan dalam pertandingan-pertandingan seperti ini? Cuba kita lihat, pertandingan-pertandingan nyanyian yang dipertandingkan di televisyen. Hadiah ratusan ribu ringgit ditawarkan hanya untuk bakat nyanyian sedia ada yang ditunjukkan para peserta.

Malah pertandingan nyanyian kanak-kanak juga diberi ganjaran puluhan ribu ringgit. Bukanlah kita mengharapkan hadiah selumayan itu di peringkat sekolah, tetapi sekurang-kurangnya biarlah ia mampu memberi lebih motivasi kepada para pelajar yang menyertai serta sebagai pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk turut sama mencuba di masa akan datang.

Realitinya bakat seperti inilah yang harus digilap, diasah dan dikembangkan kerana bakat seperti ini adalah gambaran pada kredibiliti mereka memimpin negara di masa akan datang. Seharusnya mereka diberi pengiktirafan dengan lebih menghargai segala bakat yang ada pada mereka.

Sekiranya lebih banyak pihak mampu tampil membuat tajaan bagi pertandingan-pertandingan di peringkat sekolah mahupun peringkat yang lebih tinggi, pasti kita mampu mencungkil lebih banyak bakat muda yang sebenarnya menunggu untuk digilap seperti sebutir permata berharga.


Oleh,

Suara Bebas PMS

No comments:

Post a Comment