HOME LIFESTYLE SHARE PROPERTY HOTNEWS ARTIST HEADNEWS SATELLITE PROJECT CARS OIL COMMODITY REPORTS PHOTOGRAPHER QUOTE LOVESTORY RECIPES KITCHEN MIXSALE PHONE GUFFAW SPIRITUAL FLICKS

Translate

IKLAN

Tuesday, July 8, 2014

PANTAUAN HARUS DIBUAT TERHADAP PERKHIDMATAN TEKSI


Teksi merupakan salah satu daripada pengangkutan awam yang penting bagi orang ramai. Selain bas, teksi acapkali menjadi pilihan ramai terutamanya bagi mereka yang tidak mahu menunggu lama dan mengejar masa untuk tiba ke sesuatu destinasi.

Peranan teksi sebagai pengangkutan awam negara memang penting apatah lagi ketika kunjungan orang luar mahupun pelancong asing. Perkhidmatan teksi menjadi pilihan utama bagi mereka yang tiba di sesuatu tempat yang baru.

Sememangnya, teksi begitu mudah terlihat di atas jalan-jalan raya terutama di kawasan bandar. Melihatkan senario ini pasti ramai menjangkakan bahawa teksi begitu mudah untuk diperolehi dalam keadaan seseorang itu perlu menggunakan perkhidmatan teksi.

Namun, hakikatnya, walaupun teksi yang dikatakan bersepah di seluruh bandar, perkhidmatan teksi yang digunakan kerapkali kurang memuaskan hati pengguna.

Ini kerana, banyak pemandu teksi yang dikatakan bersikap 'pilih bulu' tentang destinasi yang dituju walaupun ianya masih berada dalam lingkungan bandaraya. Hal ini seringkali terjadi terutamanya bagi kawasan-kawasan taman perumahan tertentu di ibu kota. 

Entah mengapa ia harus terjadi sedangkan pelanggan sanggup membayar harga tambang ke destinasi yang dituju. "Maaf cik, saya tak masuk sana" Ini adalah antara ungkapan yang seringkali diucapkan oleh pemandu teksi pada penumpang yang ingin menaiki teksinya. 

Ada yang memberikan alasan jalan jam atau sukar hendak ke destinasi yang dituju. Apa yang sebenarnya mereka khuatiri? Sedangkan tambang mengikut meter pasti dibayar penumpang walaupun berapa jauh atau berapa lama meter mereka berjalan. 

Persoalan inilah yang seringkali menjadi tanda tanya para pengguna. Sebagai pemandu teksi, tugas mereka adalah membawa penumpang ke destinasi yang dituju walaupun jaraknya agak jauh. Bolehkah bermalas-malasan dalam menawarkan perkhidmatan mereka?

Itu mungkin senario yang kerap berlaku di sekitar ibu kota. Lain pula halnya dengan ragam pemandu teksi di tempat lain. Baru-baru ini kami berkesempatan ke Ipoh, Perak dan menginap di salah sebuah hotel yang baru dibina. 

Terdapat sebuah pasaraya berhampiran hotel tersebut yang jaraknya tidak sampai 1 kilometer dan kami telah pergi membeli sedikit barangan dari pasaraya berkenaan. Ketika pergi, kami hanya berjalan kaki dan perjalanan itu mengambil masa kira-kira 6 minit. 

Setelah membeli barangan kami mengambil keputusan untuk menaiki teksi ke hotel itu kerana susah hendak membawa barangan yang dibeli. Kami terus mengambil sebuah teksi yang memang menunggu di situ. 

Tiba di hotel kami terperanjat kerana perjalanan dengan teksi yang tidak sampai 5 minit itu dikenakan tambang RM15. Bila ditanya, pemandu teksi itu berkata bahawa ia harga standard.

Itulah padahnya apabila menaiki teksi yang tidak bermeter. Tambang yang dikenakan oleh pemandu teksi sangat tidak munasabah dan mereka benar-benar mengambil kesempatan ke atas penumpang dengan caj yang terlalu tinggi. 

Selain pengalaman itu, seorang lagi teman pernah juga mengambil teksi daripada Terminal Bas Amanjaya di Ipoh ke satu kawasan perumahan berhampiran dengan jarak lebih kurang 8 kilometer. 

Tambang yang dikenakan amat memeranjatkan apabila dia diminta membayar RM25. Apa lagi yang dapat dikata sekiranya sudah naik dan tiba ke destinasi? Jadi, terpaksalah membayar walaupun timbul rasa tidak puas hati yang meluap-luap.

Kejadian seperti ini sebenarnya mampu dielakkan seandainya penggunaan teksi bermeter dilaksanakan di semua negeri dan satu penyelarasan tambang diwujudkan sebagai garis panduan pada penumpang agar tidak dianiaya oleh pemandu teksi yang gemar mengambil kesempatan.

Sepatutnya, hal ini diambil serius oleh pihak berwajib agar pemandu teksi tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan caj yang tidak masuk akal. Sekiranya pemantauan teliti terhadap perkara ini dijalankan, pasti para penumpang tidak akan menjadi mangsa pemandu teksi lintah darat. 

Mungkin telah tiba masanya penggunaan teksi bermeter diwajibkan di semua tempat terutamanya di kawasan bandar agar semua pihak berpuas hati dengan perkhidmatan teksi yang ditawarkan.
PEMANTAUAN HARUS DIBUAT BAGI MENGELAKKAN PERBUATAN PEMANDU TEKSI LINTAH DARAT

Oleh; 
Suara Bebas PMS

No comments:

Post a Comment